Monday, 9 May 2016

Saya Rindu


Semoga kamu sentiasa dalam lindunganNya.

Saya anggap jarak bukan untuk memisahkan.

Kerana kita sebenarnya dekat.

Sebab kita berpijak di bumi yang sama.

Melihat langit yang sama.

Diterangi cahaya matahari yang sama.

Dan merasai perkara yang sama.

Saya kuat. Saya akan sentiasa bertahan.

Saya tunggu kepulangan awak.

Bukan kepulangan bila bercuti.

Tapi lebih kepada kepulangan kerana bertugas.

Harap mengerti.

...hidup adalah satu PERJALANAN...

Wednesday, 4 May 2016

Terima Kasih Allah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” [Al- Baqarah :216]

Lebih kurang 4 tahun yang lepas bilamana dipaksa untuk menerima tawaran separa perubatan bagi Diploma Kejururawatan terus terang saya katakan jawapan saya adalah "tidak mahu".
Bagaimana nak diungkap dengan kata-kata saat ulang tahun kelahiran ayah membawa surat tawaran dengan wajah yang sangat gembira dan mengatakan bahawa ianya hadiah di hari lahir saya. Ummi ketika itu sangat bersyukur dan ingin membuat doa selamat. Saya? Hanya diam membisu kerana sememangnya jururawat bukanlah pilihan saya.
Ketika itu hanya Allah yang tahu. Betapa saya benci. Tapi saya hanya berdoa padaNya mudahkan segala urusan saya.
Alhamdulillah kini saya bergelar Jururawat Terlatih.

Setahun yang lalu saya telah mula berkhidmat di tempat yang tidak pernah terfikir oleh saya. Pertama kali dalam hidup jejakkan kaki di sini. Pertama kali menghirup udara di sini. Dan pertama kali saya melihat kehidupan di sini. Perkara pertama yang terlintas hanyalah bagaimana akan saya mulakan kehidupan saya di sini. Tanpa ummi, ayah, adik-adik. Ummi dan ayah pulang ke kampung setelah urusan tempat tinggal saya selesai. Saya telah ditempatkan di wad yang amat dikenali dikalangan staff kesihatan di situ. Sebut sahaja nama wad tersebut semua akan berkata wad yang paling sibuk. Tapi saya tenangkan hati dan berdoa moga dimudahkan urusan saya. 

Permulaan hidup sebagai seorang perantau sememangnya banyak dugaan dan cabaran. Terutama bila kita keseorangan. Tipulah kalau kata saya tidak pernah menangis sepanjang saya mula berkhidmat. Hampir setiap hari saya akan menangis dan sentiasa menyoal kenapa saya yang berada di sini tapi itu yang makin kuatkan semangat saya. Mula-mula memang sukar bila banyak perkara baru yang perlu dipelajari. Ada yang suka ada yang duka. Tapi itu yang menguatkan kita. Kadang-kadang saya terfikir kenapa Tuhan berikan rezeki saya di sini? Kenapa bukan di samping keluarga? Dan kenapa perlu menjadi seorang perantau?

Alhamdulillah sekarang saya tahu banyak hikmah setiap dugaan yang terjadi dalam hidup. Tempat yang tidak pernah dijejak kini telah menjadi tempat saya. Hehehehe. Boleh dikatakan jalannya sudah dihafal malah lagi "expert" dari si dia yang berasal dari sini. Rakan-rakan sekeliling yang banyak membantu. Sahabat ummi dan ayah yang banyak menolong dan keluarga si dia yang menerima kekurangan diri saya. Terima kasih semua. Urusan juga dipermudahkan olehNya. Urusan gaji yang sangat cepat. Sebulan berkhidmat saya telah menerima gaji saya. Dan cukup setahun berkhidmat saya telah menerima surat pengesahan lantikan saya. Alhamdulillah Allah mudahkan urusan. Terlalu banyak hikmah yang saya perolehi. 

Dan kadang-kadang saya terfikir semula sekiranya Tuhan berikan apa sahaja yang saya mahu akan beginikah kesudahannya? Hanya Allah yang mengetahui setiap apa yang terbaik untuk hambaNya. Kita sebagai hamba perlu berusaha dan tawakal. Semoga dimudahkan segala urusan kita semua. Ameen.



...hidup adalah satu PERJALANAN...